Yossi Benayoun

Yossi Shai Benayoun (Bahasa Ibrani: יוסף שי "יוסי" בניון‎, lahir 5 Mei 1980) merupakan seorang pesara pemain bola sepak profesional Israel yang terakhir bermain untuk kelab Beitar Jerusalem dan pernah menjadi ketua pasukan kebangsaan Israel. Benayoun kini memegang jawatan sebagai pengarah sukan untuk kelab Beitar Jerusalem. Beliau bermain sebagai pemain tengah menyerang dan sering menduduki ruang tepat di belakang penyerang. Dilahirkan di Dimona, beliau kadang-kadang digelar "The Diamond dari Dimona" di Israel. Benayoun bermain untuk Hapoel Be'er Sheva dan Maccabi Haifa sebelum berpindah ke Racing de Santander di Sepanyol. Tiga tahun kemudian, beliau berpindah ke Liga Perdana Inggeris dengan bermain untuk West Ham United sebelum menyertai Liverpool. Pada tahun 2010, beliau menyertai Chelsea, di mana beliau jarang dimainkan. Sejak itu, Benayoun dipinjamkan ke Arsenal dan kembali ke West Ham United, namun beliau tetap memenangi Liga Europa UEFA musim 2012–13 bersama Chelsea. Setelah itu, beliau dibebaskan oleh kelab dan menghabiskan satu musim di Liga Kejohanan Bola Sepak Inggeris bersama Queens Park Rangers sebelum kembali ke Maccabi Haifa. Benayoun mewakili pasukan kebangsaan Israel selama dua puluh tahun bermula dari tahun 1998 hingga 2018. Benayoun juga merupakan pemain yang paling banyak mewakili pasukan kebangsaan Israel iaitu sebanyak 102 penampilan dan turut mencipta rekod sebagai penjaring kedua terbanyak dengan menghasilkan 24 jaringan gol antarabangsa.


© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search